Thursday, 22 September 2016

Bekas Akademi Real Madrid Yang Mungkin Peminat Madrid Sendiri Tidak Tahu




Rata-rata peminat bola sepak maklum dengan kehebatan Akademi Barcelona. Ramai bintang yang dihasilkan dari akademi mereka seperti Xavi, Iniesta, Pedro, Pique dan juga Messi.

Barca mendapat manfaat daripada akademi berkualiti yang masyhur dengan gelaran La Masia.  

Ketika Barca dibimbing oleh bekas pemain mereka sendiri iaitu Pep Guardiola, ramai daripada mereka direkrut ke skuad utama. 

Sejak daripada itu Barcelona gah dengan cara permainan berseni yang dikenali sebagai tiki taka biarpun ia terlebih dahulu diperkenalkan oleh mendiang Johan Cruyff.


Tetapi tahukah anda? Madrid juga tidak kurang hebatnya, mereka juga mempunyai akademi mereka sendiri dengan dikenali sebagai La Fabrica ( The Factory @ Kilang). 

Semua produk yang lahir dari akademi ini masing-masing memliki nasib yang berbeza dalam menempatkan diri ke dalam skuad utama Real Madrid. 

Sebahagian daripada mereka bersempatan melakukan penampilan bersama skuad senior dan sebahagaiannya sebelum sempat beraksi untuk skuad utama telah pun berpindah ke kelab lain terlebih dahulu. 

Majoriti mereka yang berhijrah ini kekal beraksi di Liga Sepanyol.  

Antara faktor perpindahan pemain ini adalah pihak pengurusan lebih gemar membeli pemain bintang serata dunia berbanding memberi kepercayaan kepada pemain akademi mereka sendiri.

Senarai nama ini terdiri daripada bekas pemain dan juga yang masih aktif sebagai pemain: 



Saul Niguez

 
Posisi: Midfielder

Midfielder muda yang sedang meningkat naik ini hanya sempat berada di akademi Real Madrid dari musim 2006-2008 sebelum berhijrah menyertai jiran setempat Ateltico pada umur belum pun genap 14 tahun. 

Saul memiliki lebih banyak pengalaman buruk berbanding yang baik selama berada di Akademi Real Madrid. 

Beliau mendakwa rakan-rakannya telah mencuri makanan dan kasut selain tidak dibenarkan ke pusat latihan selama 2 minggu atas sebab yang beliau sendiri  tidak lakukan. 

Seseorang telah menyamar sebagai beliau dengan menulis surat kepada jurulatih.

Kini beliau begitu menyerlah di bawah bimbingan Diego Simeone sehingga menarik perhatian sebahagian besar kelab-kelab utama Eropah. 

Paling mencuri tumpuan sudah tentu gol solo beliau ketika pertemuan menentang Bayern pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.




Roberto Soldado

 
Posisi: Penyerang

Soldado memiliki 4 tahun yang luar biasa bersama Real Madrid B. Dari tahun 2002 hingga 2006 dengan memiliki 120 penampilan dan mencetak 64 gol , tapi suka diingatkan bahawa Real Madrid ketika itu memiliki deretan striker yang hebat seperti Raul , Ronaldo dan Nistelrooy. 

Sebagai pemain yang masih mentah, sukar baginya untuk bersaing mendapatkan tempat ke skuad senior. 

Sempat dipinjamkan ke Osasuna selama semusim, sebelum akhirnya dijual ke Getafe.

Saat gemilang akhirnya kunjung tiba dan beliau menyerlah di Valencia. Di sana beliau mencatatkan nama sebagai antara penjaring terbanyak La Liga Sepanyol sehingga mendapat panggilan beraksi untuk skuad kebangsaan.  



Juanfran

 
Posisi: Pertahanan

Juanfran adalah sebahagian pemain hasil daripada akademi remaja Real Madrid. 

Beliau mempunyai peluang beraksi untuk skuad utama pertamanya pada 24 Januari 2004, bermain 15 minit dalam kemenangan 2-1 menentang Villarreal selepas  menampilkan persembahan menakjubkan bersama pasukan  Real Madrid B. 

Walaupun begitu beliau hanya beraksi sebanyak 6 perlawanana bersama skuad utama Madrid.

Juanfran telah dipinjamkan ke  Espanyol pada musim 2005-06. 


Nasib beliau berubah daripada menjadi seorang winger kepada pertahanan kanan yang mantap apabila dibawa masuk menyertai Atletico di bawah bimbingan Diego Simeone yang juga bekas pemain mereka. 

Sejak daripada itu beliau sering menjadi watak penting di bahagian pertahanan dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol.   



Juan Mata

 
Posisi: Midfielder

Mata menyertai Akademi Real Madrid  pada tahun 2003, pada usia 15 tahun. Pada tahun 2006 beliau telah bermain untuk Real Madrid B. 

Ia adalah pencapaian yang luar biasa untuk seorang midfielder yang masih muda. 

Pada tahun 2007 Valencia telah  membayar klausa pelepasan kepada Madrid untuk mendapatkan pemain muda berbakat ini.

Di Valencia, Mata dikenali sebagai salah satu midfielder terbaik Sepanyol dalam generasinya. 

Beliau akhirnya berpindah ke Liga Perdana Inggeris apabila Chelsea menandatanganinya pada tahun 2011. 

Selepas mencuri tumpuan ramai di London, kini beliau merupakan sebahagian skuad  Manchester United.



Javi Garcia

 
Posisi: Midfielder

Javi menghabiskan 8 tahun di Akademi Real Madrid, sebelum menyertai Real Madrid B di mana beliau bermain selama 3 tahun. Berpindah ke Osasuna sebelum pulang semula ke Real Madrid. 

Pada tahun 2009 Benfica datang untuk menandatangani pemain Sepanyol ini. 

Beliau menyempurnakan musim pertama  dengan persembahan yang luar biasa dan kedudukannya dalam pasukan menjadi semakin penting sehingga 2012 apabila Manchester City datang ke Lisbon dan menandatangani pemian antarabangsa Sepanyol dan  membawanya ke peringkat yang lebih tinggi. 

Kini beliau berkelana ke Russia beraksi untuk kelab yang berbelanja besar, Zenit Saint Petersburg.



Canizares 

 
Posisi: Penjaga Gol


Beliau memulakan kerjaya dalam akademi Real Madrid , yang kebanyakannya hanya menjadi pilihan kedua dan turut dipinjamkan 2 kali. 

Beliau berpindah ke Valencia pada tahun 1998 dan beraksi  418 perlawanan secara keseluruhannya. 

 Memenangi beberapa kejuaraan utama, termasuk 2 kejuaraan La Liga dan 2004 UEFA Cup. 

Layak ke final Liga Juara-Juara Eropah ketika bersama Valencia 2 musim berturut-turut  pada musim 99/00 dan 00/01. Namun begitu kedua-duanya tewas kepada Madrid dan Bayern Munich.



Cañizares mewakili Sepanyol dalam 3 Piala Dunia, Kejohanan Eropah dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik pada 1992. 

Pada tahun 2004 , Peter Schmeichel meletakkan beliau sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dalam dunia bola sepak. 
Esteban Cambiasso

 
Posisi: Midfielder

Cambiasso menghabiskan 2 tahun sebagai remaja di akademi Real Madrid , sebelum pulang kembali ke Real Madrid pada tahun 2002 ketika  berusia 22 tahun. 

Beliau membuat 41 penampilan untuk Real Madrid, namun gagal mencetak walaupun satu gol.

Dalam tempoh 2 tahun di Madrid beliau tidak pernah menunjukkan potensi yang sebenarnya dan berpindah ke Inter Milan pada tahun 2004. 

Di sana karier beliau seakan mati hidup semula dengan membina reputasi menjadi antara defensive midfielder terbaik di Eropah. 



Alvaro Morata

 
Posisi: Penyerang

Walaupun Morata membuat debut Madrid pada tahun 2010,  tetapi beliau hanya benar-benar mencuri hati penyokong di Bernabeu dengan persembahan mantap pada pertembungan El Clasico 3 tahun kemudian. 

Walaupun tidak menjaringkan gol , Morata beraksi dengan baik membuat bantuan gol serta mengkucar-kacirkan pertahanan Barcelona.

Lambakan jentera serangan yang hebat di Madrid menyempitkan peluang beliau untuk beraksi dan memaksa beliau berpindah ke Juventus. 


Dipendekkan cerita, Juventus dan Real Madrid bertemu dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Beliau kembali menghantui bekas kelab lamanya dengan 2 gol menentang mereka seperti mana yang dilakukan Fernando Morientes dengan menyingkirkan Madrid daripada kejohanan pada tahun 2004 dengan cara yang serupa.

Morata telah menemui rentak di Juve selepas meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu. 


Morata telah memenangi 2 trofi liga selain mara ke final Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan keluar bekas kelabnya di peringkat separuh akhir.

Selepas menilai prestasi Morata, Real Madrid mengambil kembali beliau menyertai mereka pada musim baharu ini.

 


Dani Carvajal

 
Posisi: Pertahanan

Dani Carvajal memulakan kerjaya beliau di akademi Real Madrid. Terkenal dengan kelajuan dan tenang bertahan di posisi beliau. 

Menjadi pemain tetap untuk Sepanyol di semua peringkat bola sepak remaja antarabangsa dengan memperoleh pingat Kejohanan Eropah peringkat bawah 19 tahun dan ke bawah 21 tahun.

Pada tahun 2012 dia menandatangani untuk Bayer Leverkusen sehingga dinobatkan sebagai pertahanan kanan terbaik liga oleh akhbar Jerman, Bild.

Carvajal kembali ke Real Madrid pada bulan Julai 2013 untuk menyertai pasukan utama. 


Setelah pergi dari Bayer Leverkusen, pengarah eksekutif kelab Jerman itu Wolfgang Holzahauser mendedahkan kesan besar yang ditinggalkan Carvajal kepada kelab. 

Holzahauser juga berkata, amat sukar untuk melihat beliau pergi tetapi ini adalah peluang beliau untuk beraksi untuk kelab impian beliau sejak kecil lagi dan kami mengucapkan terbaik buat beliau.

 


Kiko Casilla

 
Posisi: Penjaga Gol

Seperti Morata, Casilla juga merupakan merupakan bekas akademi yang dibeli semula setelah menyerlah beraksi untuk pasukan lain. 

Tidak pernah berjaya ke pasukan utama, beliau hanya menghabiskan tempoh karier beliau sebelum ini bersama pasukan Real Madrid C dan Real Madrid B.  

Beliau kemudiannya berpindah ke Espanyol dengan satu perpindahan percuma. 

Di sana beliau membina reputasi sebagai antara penjaga gol terbaik liga. Reputasi tersebut akhirnya menarik minat Madrid membeli beliau semula dengan nilai perpindahan  €6 juta.



Samuel Eto'o

 
Posisi: Penyerang 

Eto'o menyertai Real Madrid Akademi pada tahun 1997 , tetapi beliau hanya sempat berlatih dengan skuad Real Madrid B. 

Apabila mereka tersingkir ke divisyen 3 liga bola sepak Sepanyol, beliau telah dipinjamkan ke CD Leganes kerana peraturan tidak membenarkan  pemain bukan asal Eropah untuk beraksi divisyen 3 liga Sepanyol.

Semasa di Madrid beliau telah dipinjamkan sebanyak 3 kali, namun gagal untuk menarik perhatian semasa tempoh pinjaman dan akhirnya membuat perpindahan kekal ke Mallorca. 


Bersama kelab baru, aksi beliau  mula menyerlah seterusnya  dipancing  Barcelona sehingga menjadi bintang yang dikenali seperti sekarang.

 





Pemain Yang Berjaya Menempatkan Diri Ke Skuad Utama Dan Cemerlang Bersama Madrid
 

Raul, Guti dan Iker Casillas

 

Ketiga-tiga individu ini merupakan bekas pemain akademi Madrid yang hebat dan  berjaya menempatkan diri ke skuad utama selepas tamat tempoh beraksi untuk Real Madrid B atau Real Madrid C. Masing-masing pernah memenangi kejuaraan utama bersama Madrid. 

Raul misalnya merupakan kapten pasukan mereka memenangi 6 kejuaraan liga dan juga 3 trofi Liga Juara-Juara Eropah.

 Beliau juga mencatatkan nama sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Madrid dengan 323 gol daripada 741 penampilan sebelum rekod tersebut dipecahkan oleh Cristiano Ronaldo.

Guti pula berjaya menempatkan diri ke dalam kesebelasan utama Madrid walaupun pada waktu itu midfield mereka dipenuhi Galacticos seperti Zidane dan Luis Figo. 

Beliau mencatatkan 387 penampilan sepanjang 15 tahun bersama gergasi Sepanyol itu dengan 5 kejuaraan liga dan 3 trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Kisah Casillas di Madrid bermula dengan langkah kanan apabila memecah masuk ke skuad utama ketika beumur 16 tahun pada aksi Liga Juara-Juara menentang Rosenborg tahun 1997.  

Pencapaian hebat beliau tidak terhenti setakat itu dengan beliau menjadi penjaga gol termuda di final Liga Juara-Juara edisi 2000 berumur 19 tahun ketika bertemu Valencia.

Aksi cemerlang beliau pada musim tersebut berjaya menobatkan beliau memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik La Liga tahun 2000 pada usia 19 tahun.


Ketika berada di kemuncak prestasi, Casillas telah dinamakan sebagai penjaga gol terbaik dunia sebanyak 5 kali berturut-turut dari tahun 2008 hingga 2012

Bersama Madrid Casillas memenangi 5 kejuaraan liga, 2 Piala Raja Sepanyol dan 3 Liga Juara-Juara Eropah.
 
Manakala dengan  skuad kebangsaan Sepanyol pula, lebih dari satu dekad Casillas dipertanggungjawabkan di posisi penjaga gawang utama dengan memenangi  2 Piala Eropah dan 1 Piala Dunia. 





0 comments:

Post a Comment