Monday, 24 October 2016

Sejarah Late Bloomer Yang Berjaya Dalam Bola Sepak Dunia


 



Prestasi hebat Vardy pada musim lepas benar-benar membuka mata ramai pihak dengan kejayaan dikecapi beliau disaat  usia yang lewat sebagai pemain bola sepak. 

Tetapi sebenarnya bukan Vardy sahaja yang mengecapi kemuncak karier sebegitu. Bahkan ramai lagi yang mempunyai nasib yang serupa.

Jika di bidang usahawan kita pasti pasti kenal dengan Colonel Sanders yang menjadi pengasas restoran ayam goreng terkenal KFC. 

Tapi tahukah anda? Beliau memulakan perniagaan ayam goreng tersebut menggunakan duit pencen sewaktu berumur 65 tahun.

Bayangkan jika beliau berputus  asa. Sudah pasti kini kita tidak akan lihat rangkaian restoran tersebut serata dunia.

Begitu juga dalam bola sepak. Tidak semua pemain bintang yang memulakan karier mereka dengan lancar. 

Ada daripada mereka yang bermain di kelab-kelab semi pro bertahun-tahun sebelum menemui kejayaan di puncak karier mereka.


 Apakah late bloomers dalam bola sepak?

Late bloomer adalah satu istilah membawa maksud individu yang tidak mencapai perkembangan dengan waktu yang normal. 

Dalam bola sepak ia merujuk kepada segolongan pemain yang mencapai prestasi hebat pada usia yang agak lewat.

Berbanding bintang normal yang lain yang dikesan bakat dari awal umur 20an, bakat mereka hanya benar-benar terserlah apabila menginjak usia lewat 20an.

Kali ini kami akan bawakan senarai late bloomer yang paling berjaya dalam bola sepak. Mudah-mudahan kejayaan late bloomers ini akan memberi inspirasi kepada kita agar tidak berputus asa untuk mencipta kejayaan.


Diego Milito

 

Digelar The Prince. Apabila kita membicarakan penyerang terbaik di Eropah  adalah tidak adil untuk kita mengenepikan  Diego Milito daripada senarai penyerang hebat yang pernah beraksi di Eropah.

Beliau begitu disayangi oleh penyokong Inter Milan kerana mempunyai penyudah yang cukup berbisa di kawasan kotak penalti lawan.


Tempoh di  Racing Club, Genoa dan Zaragoza menyaksikan beliau menjaringkan deretan gol yang agak baik. 

Namun begitu dalam tempoh tersebut, tiada kelab besar yang begitu serius menagih khidmat beliau sebagai penyerang utama pasukan.

Akhirnya rahmat kunjung tiba, beliau dibawa oleh Jose Mourinho ke Inter Milan pada musim 2009/10.

30 gol dan kejayaan treble kemudian menunjukkan bahawa sebenarnya berkemampuan beraksi untuk kelab besar seperti Inter.

Jaringan gol  pada perlawanan akhir Coppa Italia dan 2 gol pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara benar-benar mengangkat beliau sebagai penyerang terbaik di Eropah.

 Musim tersebut juga merupakan musim gemilang buat Mourinho dan Inter dengan kejayaan 3 piala semusim. 

Penyokong Inter Milan pasti merindui penyudah berbisa yang dipersembahkan oleh beliau untuk penyokong.


Carlos Bacca

 

Setiap mereka yang mahu berjaya perlu mencontohi semangat yang ada pada beliau. 

Kerjaya beliau sebagai pemian tidak bermula dengan langkah kanan. 

Ketika berusia 20 tahun, Bacca bekerja sambilan sebagai seorang nelayan dan bas konduktor semasa bermain untuk Atletico Junior di negara asalnya, Colombia.

Hanya pada musim kejayaan pada tahun 2011, Club Brugge membawanya ke Eropah. 

Kehebatan Bacca membantu Sevilla menjulang Liga Europa membuatkan nama beliau menjadi perhatian ramai. 

Selepas beberapa musim sensasi di Sevilla beliau melakukan perpindahan ke salah satu kelab yang paling ikonik di Eropah iaitu AC Milan.

Kini beliau berumur 30 tahun dan masih istiqamah mencetak gol buat Milan di Serie A Itali.


Jamie Vardy
 


Nama beliau secara tiba-tiba menjadi perhatian peminat bola sepak selepas berjaya memadamkan rekod gol Nistellrooy dengan jaringan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut. 

Ironiknya rekod tersebut dicatatkan ketika beliau menjaringkan gol dalam keputusan seri bertemu United di Stadium King Power.

Dalam prestasi yang mantap bintang ini telah menjaringkan 22 gol untuk Foxes dan membantu mereka untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam sejarah kelab.

The Foxes menandatangani Vardy dari Fleetwood Town (kelab bukan liga) dengan harga £ 1 juta pada tahun 2012 ketika penyerang tersebut berusia 25tahun.

 Selain itu beliau juga  ditolak oleh kelab tempatan Sheffield Wednesday sewaktu  usia muda dengan alasan tidak cukup bagus ketika itu.

Vardy membawa Leicester ke Liga Perdana pada 2013/14, dan sejak itu karier beliau semakin meningkat sehingga dipanggil untuk mewakili skuad England.


Luca Toni

 

Tiada keraguan beliau adalah salah seorang late bloomer yang menyerlah dalam arena bola sepak dunia.

Sewaktu usia muda Toni  banyak mengabiskan masa beliau beraksi di liga bawahan Serie B dan Serie C Itali sebelum menandatangani untuk Palermo (kemudian pasukan bercita-cita tinggi Serie B) pada tahun 2003.

Pertama kali di Serie A umur 23 tahun kembali semula ke Serie B sewaktu umur 26 tahun.

20 gol pada musim pertaman  promosi di Serie A dan 21 gol pada tahun berikutnya. Rekod jaringan hebat di Palermo menarik perhatian The Azzurri memanggil beliau menyarung jersi Itali.

Luca Toni mempunyai rekod musim debut yang baik di kelab yang pernah beliau sertai. 

Di Fiorentia misalnya beliau telah  menjaringkan 33 gol manakala di Bayern Munich pula beliau berjaya mencetak 39 gol untuk melayakkan beliau digelar sebagai salah seorang goal poacher terbaik di Eropah.

Di peringkat antarabangsa pula beliau juga adalah salah seorang skuad Itali  yang memenangi Piala Dunia pada tahun 2006  selain menjaringkan 2 gol dalam perlawanan suku akhir menentang Ukraine.


Didier Drogba

 

Pasukan lawan yang digemari oleh beliau adalah Arsenal. Beliau dilihat seringkali menjaringkan gol tatkala bertemu jiran London tersebut. 

Karier Drogba hanya  benar-benar menyerlah  pada umur 25 tahun pada musim 02/03 ketika bersama Guingamp di Ligue 1 Perancis.

Beliau kemudian ke Marseille . Di sana Drogba berubah menjadi pemian bintang bola sepak sehiugga dibeli oleh Chelsea.

Ketibaan beliau ke Chelsea bagai memberi rahmat kepada mereka dengan membantu mereka mengecapi kejuaraan sulung liga.

Di sana juga beliau diundi sebagai pemain terbaik Chelsea sepanjang zaman. 

Di peringkat antarabangsa  Drogbadilantik sebagai  kapten Ivory Coast selain dinobat sebagai pemain terbaik Afrika sebanyak 2 kali pada tahun 2006 dan 2009.


Rickie Lambert

 

Hanya mula beraksi di Liga Perdana Inggeris setelah mencapai umur 30 tahun. Sebelum itu hanya menghabiskan karier beliau di liga-liga bawahan.

Ketika di Southampton Lambert menunjukkan prestasi memberangsangkan bermula dengan divisyen 3 beliau membantu pasukan layak ke Liga Kejohanan (Divisyyen 2) kemudian akhirnya mereka kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Pada umur 32 tahun Liverpool telah menandatangani beliau untuk memperkuatkan skuad sedia ada. Nasib beliau di Anfield tidak begitu baik dengan hanya menyumbat gol daripada 25 perlawanan kemudian kini berhijrah ke West Brom.

Pada 31 tahun beliau menerima panggilan untuk skuad England dan menjaringkan gol pada debut beliau bersama England.




Dado Prso

 


Pada usia 21 Dado Prso hanya  bermain bola sepak secara sambilan semasa bekerja sebagai mekanik kereta. Manakala pada 23 tahun, beliau hanya bermain di divisyen tiga bola sepak Perancis. Pada 26 tahun pula, beliau telah memenangi gelaran Perancis bersama AS Monaco. 

Sewaktu berumur 30 tahun, beliau menjaringkan 4 gol dalam 1 perlawanan Liga Juara-Juara selain bermain dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Prestasi beliau semakin meningkat seiring dengan peningkatan usia yang dialami beliau.. 

Bintang ini Croatia  berfikir mungkin kerjaya beliau telah menemui jalan mati pada usia muda ketika dilepaskan oleh kelab selepas  selepas pasukan perubatan memberitahu beliau mempunyai degupan jantung yang tidak teratur dan tidak cukup cergas sebagai pemain profesional.
  
Prso membuat debut antarabangsa pada usia 29, dan kemudiannya membuat 32 penampilan untuk Croatia.


Graziano Pelle
 


Disebalik rambut yang didandan kemas sentuhan pomade ada cerita kisah suka duka beliau sebelum mencipta nama sebagai bintang ternama bola sepak. 


Namun begitu karier tidaklah berjalan dengan cantik seperti mana cantiknya rambut beliau dengan sentuhan pomade.

Pelle memulakan karier sebagai pemain bola sepak di kelab bandar asal beliau iaitu Lecce. 

Sebelum mempamerkan bakat di divisyen tertinggi Liga Belanda dengan menyertai  AZ Alkmaar, beliau terlebih dahulu dipinjamkan ke 3 kelab liga bawahan di Itali. 

Namun panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kerjaya Pelle tidak berkembang dengan baik sehinggalah perpindahan ke Feyenoord.

Bermula  sebagai pemain pinjaman, Pelle membayar kepercayaan pengurus kepada beliau dengan meledak 27 gol ketika tempoh pinjaman.  

Musim berikutnya Feyenoord mengambil keputusan menjadikan sebagai pemain tetap. Sekali lagi Pelle menyinar dengan 23 gol semusim. 

Soutthampton  yang berkenan dengan rekod jaringan tersebut membawa beliau ke Liga Perdana Inggeris bagi menggantikan Rickie Lambert yang berpindah ke Liverpool.

Di peringkat antarabangsa pula Pelle hanya menyarungkan jersi skuad senior Itali pada umur 29 tahun. Pada Euro 2016 yang lalu beliau mencetak 2 gol sewaktu bertemu Sepanyol dan Belgium.
 
Kini beliau beraksi di Liga Super China untuk Shandong Luneng. Gaji beliau di sana bukanlah kecil-kecil anak.

Pelle merupakan pemain yang menerima gaji keenam termahal di dunia dengan jumlah £13.9 juta setahun, lebih mahal berbanding gaji yang diterima Neymar dan Luis Suarez di Barcelona.


Fabio Grosso

 


Fabio Grosso membuat  penampilan sulung Serie A pada tahun 2001 pada usia 24 tahun. Namun,  pada tahun 2004 ketika berusia 27 tahun, beliau kembali ke Serie B. 

Beliau telah dinaikkan pangkat dari Serie B pada usia 28 untuk kembali ke liga utama. Pada usia inilah  bakat Grosso benar-benar menyerlah dalam persada bola sepak Itali. Sebelum itu bakat beliau hanya dipandang sepi sahaja. 

 Beliau berpindah ke Inter Milan pada usia 29 tahun dan bermain untuk kedua-dua kelab, Lyon dan Juventus  dalam lingkungan 30-an.

Grosso kemudiannya memenangi 48 caps untuk Itali, memenangi Piala Dunia pada tahun 2006, serta memenangi gelaran liga dalam kedua-dua tempoh di Itali dan Perancis.


Di Natale

 

Pemain Itali sering kali memegang reputasi menjadi lebih baik apabila menginjak usia tua. 

Seperti buah kelapa makin tua makin pekat santannya, semakin beliau berusia tua juga makin menjadi. 

Di Natale adalah salah seorang late bloomer yang berasal dari Itali. Tidak mustahil untuk beberapa musim akan datang kita akan menyaksikan lebih ramai late bloomer dari Itali.

Pada usia 37 tahun, Di Natale masih bermain untuk  Udinese dan boleh dikatakan  pemain terbaik kelab itu. 

Jarang sekali pemain untuk menjadi lebih baik pada 37 tahun berbanding  umur 27 tahun, tetapi tiada keraguan untuk Di Natale. 

Beliau menjaringkan 7 gol dalam 33 perlawanan pada usia 27 dan 14 gol dalam 33 perlawanan pada usia 37.

Beliau hanya mula bermain di Serie B sewaktu berumur 23 tahun dan kemudian melakukan debut di Serie A pada umur 25 tahun. Di Natale telah mencapai tahap terbaik dalam bola sepak sejak  beralih ke umur 30 tahun pada tahun 2007. 

Pada umur 32 tahun beliau mencatatkan nama sebagai bintang di Serie A apabila menjadi penjaring terbanyak di liga 2 musim berturut-turut pada 09/10 dan 10/11.




Pengajaran yang boleh diambil

Kejayaan tidak mengenal usia. Teruskan berusaha. Pengalaman sukar sewaktu permulaan akan membuat seseorang menghargai kejayaan ketika berada di puncak.

Manusia merancang, tetapi sebaik-baik perancang adalah dari tuhan..

Golongan pemain seperti ini sentiasa ada dalam dunia bola sepak. Tidak mustahil nanti ada beberapa nama yang melonjak secara tiba-tiba. 

Setelah kita amati mungkin umur mereka bukanlah semuda yang kita sangkakan seperti kes Jamie Vardy. 

Daripada pemain-pemain ini kita akan belajar sesuatu untuk berjaya tiada umur penamat yang menjadi penghalang asalkan adanya kesungguhan yang menebal dalam diri.



0 comments:

Post a Comment