Sunday, 30 October 2016

Penantian 8 Tahun Berakhir, Kedah Juara Piala Malaysia 2016




Misi Kedah untuk melunaskan kekalahan aksi  final Piala Malaysia terhadap Selangor pada musim lalu akhirnya terbayar.


Kemenangan tersebut diraih menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan.


Dalam perlawanan yang lebih banyak dibayangi aksi dalam hujan itu, Kedah terlebih dahulu di hadapan menerusi gol cubaan Rizal Ghazali pada minit 51. 


Gol tersebut dipercayai terhasil melalui cubaan Rizal dari luar petak penalti Selangor yang mengenai benteng pertahanan sebelum biasan bola tersebut mencecah ke dalam jaring pasukan Selangor.


Khairul Azhan yang menggalas tugas di bahagian gawang Selangor sudah pun tertewas dan gagal untuk menyelamatkan bola tersebut.


Tersentak dengan gol tersebut, Selangor segera mencari gol penyamaan melalui hantaran terus ke bahagian serangan mereka yang diterajui oleh Patrick Ronaldinho dan Hazwan Bakri.


Usaha mereka terbalas apabila Hazwan menjadi hero buat Selangor dengan menjaringkan gol pada minit 61.


Kedah terus menguasai permainan dengan hantaran berbahaya di bahagian tengah mereka yang dikawal oleh pemain yang mempunyai teknik tinggi, Liridon Krasniqi.


Selangor pula menggunakan kepantasan pemain seperti Andik dan Gopinathan melakukan serangan balas sekali sekala.


Kedudukan 1-1 yang tidak berubah dalam 120 minit permainan, memaksa pemenang dipilih berdasarkan penentuan sepakan penalti.


Tuah akhirnya berpihak kepada Kedah dengan berjaya memenangi Piala Malaysia 2016 hasil keputusan 6-5 dalam penentuan sepakan penalti mengatasi Selangor.


Dengan kemenangan ini, Kedah telah merekod 5 kejuaraan Piala Malaysia secara keseluruhan, setelah kali terakhir memenanginya pada 2008, menewaskan lawan yang sama dengan jaringan 3-2 di Stadium Bukit Jalil.



0 comments:

Post a Comment