Wednesday, 26 October 2016
Home »
Antonio conte
,
bola sepak
,
carrick
,
chelsea
,
epl
,
eric bailly
,
football
,
manchester city
,
manchester united
,
mourinho
,
pogba
,
zlatan ibrahimovic
» 4 Perkara Yang Harus Mourinho Lakukan Segera di United
4 Perkara Yang Harus Mourinho Lakukan Segera di United
Kekalahan besar United baru-baru ini memberi tugas besar kepada Mourinho untuk mengembalikan keyakinan anak buah beliau dengan segara.
Keputusan negatif itu sekaligus mendedahkan kelemahan sebenar United pada awal musim.
Positifnya, mereka masih mempunyai masa untuk bangkit kerana perjalanan liga masih panjang.
Banyak aspek yang perlu diselesaikan Mourinho dengan kadar segera untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar berlaku.
Antara perkara penting yang perlu segera Mourinho selesaikan adalah:
1. Dapatkan yang terbaik daripada Ibrahimovic atau gugurkannya
Ibrahimovic datang dengan harapan akan membekalkan penyudah yang berkesan kepada United selepas mereka kehilangan penyerang berbisa seperti Van Persie sebelum ini.
Pada permulaan beliau di sana segalanya tampak seperti berjalan dengan lancar.
Bermula dengan gol kemenangan dalam perlawanan Perisai Komuniti menentang Leicester, gol luar kotak penalti Bournemouth dan beberapa gol susulan selepas itu beliau seakan mampu menyesuaikan diri dengan segera.
Namun begitu sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini, Zlatan begitu bergelut untuk mendapatkan gol.
Mourinho perlu belajar untuk mencari jalan untuk mendapatkan yang terbaik daripada Ibrahimovic dan atau menggugurkannya dari pasukan utama.
Kebergantungan yang keterlaluan United kepada Ibrahimovic akan dihidu oleh pihak lawan seterusnya akan menyukarkan mereka mendapatkan gol.
2. Selesaikan masalah pertahanan dengan segera
Kekalahan besar United di tangan Chelsea baru-baru ini membuktikan bahawa pertahanan mereka begitu bermasalah.
Dalam perlawanan tersebut gandingan Smalling dan Blind begitu rapuh sehingga membenarkan 4 gol dibolosi.
Konsentrasi yang lemah daripada Blind membenarkan hantaran yang mudah Marcos Alonso kepada Pedro.
Pedro mengambil kesempatan daripada kelalaian tersebut menjaringkan gol pendahuluan biarpun tidak sampai 1 minit masa permainan.
Kecederaan yang dialami oleh Eric Bailly, pemain penting benteng pertahanan mereka musim ini mungkin akan membuatkan situasi menjadi lebih parah.
Sudah tiba masanya Mourinho perlu mencari pertahanan muda yang sesuai diserapkan ke pasukan utama bagi menampung ketiadaan Bailly.
3. Berikan Carrick waktu permainan yang lebih
Carrick kemungkinan besar mampu membuat perbezaan jika diberi peluang beraksi di skuad utama.
Perkara tersebut dapat dibuktikan ketika perlawanan Manchester United menentang Fenerbahce, beberapa hari sebelum mereka dibelesah teruk di Stamford Bridge.
Sebagai antara pemain yang paling lama selain Rooney, beliau berupaya menyumbangkan pengalaman yang ada selain mengembalikan keyakinan dalam pasukan.
Berbanding Fellaini, Carrick dilihat calon yang paling ideal untuk United mendapatkan yang terbaik daripada Pogba.
Fellaini sebelum ini gagal membantu pertahanan dengan baik dan tidak memiliki hantaran yang kemas sehingga memaksa Pogba untuk turun lebih ke bawah mendapatkan bola.
Akibat daripada situasi ini Pogba kurang memberi ancaman di bahagian atas seterusnya menyebabkan Ibrahimovic gagal mendapatkan hantaran yang berkualiti menjaringkan gol.
Kehadiran Carrick bukan hanya membekalkan ketenangan di hadapan pertahanan bahkan hantaran beliau juga mampu membuatkan gerakan United lebih lancar berbanding Fellaini.
4. Tewaskan Man City ( pertemuan Piala Capital One)
Umum mengetahui bahawa permusuhan United dan City berlaku sejak sekian lama.
Ia menjadi bertambah sengit apabila City diperkuatkan dengan suntikan dana yang banyak daripada jutawan Arab.
Sejak daripada itu City bukan sahaja menjadi musuh setempat bahkan musuh kuat dalam persaingan liga.
Justeru itu, apa sahaja keputusan daripada perlawanan menentang Manchester City nanti (pada 27 Oktober), boleh memberi kesan positif untuk Manchester United atau sebaliknya.
Dengan kemenangan sahaja mampu mengembalikan keyakinan pemain dan penyokong terhadap beliau.
Sebaliknya jika keputusan negatif, keadaan akan menjadi bertambah teruk dari apa yang kita sangkakan.
Pemain juga akan menghadapi krisis keyakinan untuk menang selepas deretan keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada mereka.
Masa depan Mourinho di United
Pemergian Ferguson sebagai pengurus yang paling berjaya di United memberi penanda aras yang tinggi untuk diikuti oleh pengurus yang datang selepas beliau.
Mana-mana pengurus United yang hadir selepas Alex Ferguson diberi harapan yang tinggi untuk mengembalikan aura seperti zaman Ferguson.
Mourinho turut tidak terkecuali dalam membawa beban harapan yang besar daripada penyokong United serata dunia.
Sebagai pengurus yang dibawa untuk jangka masa pendek, mahu tidak mahu Mourinho perlu segera meletakkan United sebagai pesaing kuat gelaran liga.
Jika perkara tersebut gagal berlaku nasib Mourinho mungkin akan lebih teruk berbanding David Moyes dan Van Gaal.
Lebih-lebih lagi beliau sendiri mempunyai pengalaman buruk dipecat oleh Chelsea lantaran keputusan buruk anak buah beliau biarpun membantu mereka menjulang Liga Perdana Inggeris musim sebelum itu.
Sumber: Goal.com
0 comments:
Post a Comment