Monday, 31 October 2016

Tiada Peruntukan Untuk FAS Dalam Bajet 2017 Selangor?





MB Selangor Azmin Ali tidak mengumumkan sebarang peruntukan untuk FAS semasa membentangkan cadangan bajet 2017 bagi negeri itu pada pagi semalam (Isnin), tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.


Keadaan tersebut dilihat menambah luka kepada FAS, sehari selepas Selangor gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia kepada Kedah.


Satu sumber yang hampir kepada pihak dalaman FAS memberitahu,  berbanding tahun-tahun sebelumnya,  juara Piala Malaysia 33 kali itu tidak akan dibiayai daripada tabung negeri Selangor pada tahun 2017.


Jika perkara tersebut berlaku, ia akan menimbulkan persoalan mengenai masa depan kewangan Red Giants memandangkan FAS sememangnya bergantung harap kepada dana kerajaan negeri.


Hal ini akan menjadi  tanda tanya kerana Azmin sebaliknya mengumumkan bajet
 kerajaan negeri untuk  atlet SUKMA negeri dalam sesi pembentangan bajet tersebut.


Terdahulu, beberapa bulan sebelum ini terdapat suara daripada penyokong pasukan Selangor sendiri telah mendesak agar FAS menjalankan usaha-usaha penswastaan kelab dan berusaha mencari dana tanpa bantuan kerajaan negeri.


Ia adalah rentetan prestasi buruk yang dipamerkan Selangor dalam kempen Liga Super.

Azmin selaku presiden FAS telah memulakan apa yang dilihat sebagai satu proses reformasi di peringkat lembaga pengarah dan mengakibatkan peletakan jawatan 2 jawatankuasa eksekutif FAS (exco).


Walau bagaimanapun, kebanyakan ahli-ahli exco menolak untuk mengikuti langkah berikut.


 Mereka masih dilihat menghadiri sidang media FAS dan mewakili FAS dalam mesyuarat exco FAM. 


Oleh kerana jawatan Presiden FAS dilaporkan tidak mempunyai hak khusus memecat exco dalam perlembagaan persatuan.


Satu-satunya tindakan yang boleh diambil oleh Azmin untuk memaksa barisan exco akur dengan arahan beliau adalah dengan memotong dana kerajaan negeri daripada disalurkan kepada FAS.


Sementara itu peminat Selangor pasti akan bimbang dengan perkembangan terbaru ini kerana kekurangan dana pasti akan mengganggu keupayaan Red Giants mengekalkan bintang semasa mereka, mendapatkan pemain-pemain baru dan juga memilih ketua jurulatih tetap bagi pasukan.



Sumber dari Goal.com

TMJ Kekal Komited Perjuangkan Hak Penyiaran Bagi Kelab di Malaysia




BERJUANG meningkatkan hak penyiaran televisyen untuk setiap kelab sebagai satu keutamaan, setiap pasukan wajib mempunyai projek pembangunan belia dan mempertingkatkan lagi fasiliti bola sepak adalah perkara  utama yang menjadi nadi dalam mempertingkatkan bola sepak negara pada masa depan, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


“Kami tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai bola sepak dan itulah sebabnya mengapa saya berada di sini,” katanya ketika di Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid, Sepanyol.




TMJ berkata sebagai orang yang mahu membangunkan bola sepak dengan serius, tiada masalah jika kita merendahkan ego belajar daripada mereka yang lebih arif dalam pembangunan bola sepak terutamanya mereka yang berada di Eropah.


“Mudah-mudahan saya dapat menyumbang pengetahuan yang ada untuk kelab dan bola sepak saya di Malaysia,” katanya.






Hak penyiaran buat kelab dinafikan

Perkara lain yang turut disentuh pada persidangan itu ialah mengenai hak penyiaran televisyen di negara ini.




Dalam Sidang Kemuncak Bola Sepak tersebut TMJ mendedahkan bahawa bayaran hak penyiaran kepada kelab-kelab dalam negara ini tidak mencukupi kerana persatuan yang menguruskan bola sepak negara telah mengambil bahagian melebihi apa yang sepatutnya.


Menurut beliau, hak penyiaran TV adalah satu masalah besar di negara ini sedangkan di negara di mana bola sepak begitu berjaya di Eropah, ia menjadi tulang belakang bagi sokongan kewangan untuk sesebuah kelab bola sepak.



“Di Malaysia kami terpaksa bergantung hampir sepenuhnya kepada penajaan. 




Tunku Ismail berkata, penyiaran televisyen seharusnya memberikan sokongan yang lebih kepada sukan tempatan.



“Syarikat besar perlu berbelanja lebih untuk mempromosikan bola sepak di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.




Sunday, 30 October 2016

Penantian 8 Tahun Berakhir, Kedah Juara Piala Malaysia 2016




Misi Kedah untuk melunaskan kekalahan aksi  final Piala Malaysia terhadap Selangor pada musim lalu akhirnya terbayar.


Kemenangan tersebut diraih menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 dalam 120 minit permainan.


Dalam perlawanan yang lebih banyak dibayangi aksi dalam hujan itu, Kedah terlebih dahulu di hadapan menerusi gol cubaan Rizal Ghazali pada minit 51. 


Gol tersebut dipercayai terhasil melalui cubaan Rizal dari luar petak penalti Selangor yang mengenai benteng pertahanan sebelum biasan bola tersebut mencecah ke dalam jaring pasukan Selangor.


Khairul Azhan yang menggalas tugas di bahagian gawang Selangor sudah pun tertewas dan gagal untuk menyelamatkan bola tersebut.


Tersentak dengan gol tersebut, Selangor segera mencari gol penyamaan melalui hantaran terus ke bahagian serangan mereka yang diterajui oleh Patrick Ronaldinho dan Hazwan Bakri.


Usaha mereka terbalas apabila Hazwan menjadi hero buat Selangor dengan menjaringkan gol pada minit 61.


Kedah terus menguasai permainan dengan hantaran berbahaya di bahagian tengah mereka yang dikawal oleh pemain yang mempunyai teknik tinggi, Liridon Krasniqi.


Selangor pula menggunakan kepantasan pemain seperti Andik dan Gopinathan melakukan serangan balas sekali sekala.


Kedudukan 1-1 yang tidak berubah dalam 120 minit permainan, memaksa pemenang dipilih berdasarkan penentuan sepakan penalti.


Tuah akhirnya berpihak kepada Kedah dengan berjaya memenangi Piala Malaysia 2016 hasil keputusan 6-5 dalam penentuan sepakan penalti mengatasi Selangor.


Dengan kemenangan ini, Kedah telah merekod 5 kejuaraan Piala Malaysia secara keseluruhan, setelah kali terakhir memenanginya pada 2008, menewaskan lawan yang sama dengan jaringan 3-2 di Stadium Bukit Jalil.



Saturday, 29 October 2016

Kelab Bukan Liga Ini Mempunyai 8 Penjaga Gol Berbeza Musim Ini




Penjaga gol merupakan posisi yang amat penting bagi setiap pasukan. Jatuh naik pasukan sedikit sebanyak bergantung kepada prestasi mereka.

Penjaga gol yang berada di barisan terakhir pasukan sememangnya dibebani dengan tanggungjawab yang cukup berat.

Berbeza dengan posisi lain, bahagian penjaga gol amat unik kerana hanya seorang sahaja boleh diturunkan untuk satu-satu masa.

 Tetapi dalam keadaan yang ini unik juga, sebuah kelab semi pro di England mempunyai 8 orang penjaga berbeza walaupun liga belum memasuki fasa separuh musim kedua.

Kebiasaannya sesebuah kelab itu hanya mempunyai 3 orang penjaga gol maksimum untuk satu musim.

Biarpun begitu, penjaga gol ketiga ini jarang sekali diturun, lebih malang lagi ada yang langsung tidak diturunkan walaupun 1 perlawanan.

Berbeza dengan kelab lain, kelab bukan liga, Braintee Town mempunyai cerita yang menarik untuk dikongsi kepada orang ramai.

Jumlah penjaga gol mereka hampir sama dengan jumlah sesetengah midfielder pasukan lain.

Kelab Semi Pro itu mempunyai 8 penjaga gol sejak awal musim ini, dengan 6 daripada mereka merupakan outfield player iaitu pemain selain dari posisi penjaga gol

Isu penjaga gol  adalah sebahagian daripada masalah yang dihadapi oleh kelab yang beraksi di liga peringkat ke-5 di England itu.

Bagaimana isu ini boleh berlaku? Teruskan membaca. Kami ceritakan satu persatu kepada anda.



Bagaimana Masalah Tersebut Berlaku?

Kelab itu memulakan musim  dengan memilih Jamie Butler sebagai pilihan pertama di posisi penjaga gol. 



Manakala Sam Cowler pula diletakkan menjadi pilihan kedua. 



Tiada angin, tiada ribut Cowler membuat keputusan terbang ke China untuk menyambung belajar tanpa membuat sebarang penampilan bersama kelab.




Kekosongan yang ditinggalkan Cowler kemudian diisi oleh Josh Strizovic sebagai penjaga gol kedua.


Selepas Cowler, tiba pula giliran Butler meninggalkan kelab pada Ogos lalu.

Namun begitu sebelum berpindah, Butler terlebih dahulu pernah dibuang padang dalam perlawanan bertemu Macclesfield.


Penggantungan beliau kemudiannya memaksa kelab mencari pengganti kepada kekosongan tersebut dan membawa masuk  Ross Fitzsimmons.


Namun begitu Ross hanya melakukan 1 penampilan sahaja setakat ini untuk kelab.


Butler yang berpindah pada bulan Ogos telah digantikan oleh  penjaga gol dari Cambridge United iaitu Sam Beasant  yang merupakan anak kepada bekas penjaga gol England, Chelsea dan pemenang Piala FA 1988  bersama  Wimbledon FA ( penjaga gol ke-5)


Beasant  turun dalam 4 empat perlawanan seterusnya sebelum mengalami kecederaan di bahagian tangan beliau.


Sebagai langkah penyelesaian segera,  kelab telah membawa masuk penjaga gol Bristol Rovers iaitu Will Puddy sebagai pemain pinjaman ( penjaga gol ke-6).


Tampak seperti berpakat, Puddy yang mengambil peranan untuk 4 perlawanan seterusnya turut mengalami kecederaan yang sama seperti yang dialami Beasant.


Sebagai pengganti kepada kecederaan Puddy, Joe Talylor dibawa masuk dari kelab Dartford Fc ( penjaga gol ke-7).


Walaubagaimanapun debut Taylor tidak bermula dengan langkah kanan  apabila Braintree tewas 6-1 kepada Dover Athletic.


Tempat beliau kemudian digantikan oleh penjaga gol muda kelab Reading,  Dani Lincoln yang membuat debut pada awal Oktober lalu (penjaga gol ke-8)






Pemain Midfield Ditugaskan Menjadi Penjaga Gol

Namun begitu kesemua penjaga gol yang diturunkan bukanlah berasal dari posisi penjaga gol.


Mereka juga pernah menurunkan pemain yang bukan asal penjaga gol untuk menjaga gawang gol mereka.


Situasi tersebut berlaku sewaktu penjaga gol mereka, Butler dibuang padang ketika bertemu Macclesfield. 


Saat itu mereka sebenarnya tidak mempunyai seorang pun penjaga gol di bangku simpanan.


Dalam keadaan yang terdesak,  pemain midfileld mereka, Sam Corne dengan berat hati terpaksa menjadi bidan terjun.


Situasi yang hampir sama pernah dialami oleh John Terry dan John O'shea ketika bermain untuk Chelsea dan United.



Kesan Siri Kecederaan Penjaga Gol Kepada Prestasi Pasukan

Kecederaan yang melanda penjaga gol memberi kesan kepada prestasi kelab ini secara keseluruhan.


Akibatnya, mereka terperosok ke kedudukan 4 tercorot dalam liga.


Statistik bolos mereka menceritakan segala-galanya.


Biarpun mereka bukanlah pasukan yang banyak dibolosi tetapi statistik tersebut dianggap teruk.


Mereka merupakan pasukan ketiga paling banyak dibolosi dalam liga.


Tidak mustahil jika jumlah tersebut meningkat dengan lebih banyak jika masalah tersebut gagal diselesaikan dengan kadar segera.



Kedudukan Braintree Town dalam liga





Sumber: BBC Sport

Friday, 28 October 2016

Senarai Pemain India Terbaik Dalam Sejarah Bola Sepak Malaysia

 



Bola sepak adalah merupakan sebahagian daripada budaya Malaysia. Semuanya bermula pada tahun 1921, apabila kejohanan kebangsaan yang dikenali sebagai Piala Malaya diperkenalkan.

Sejak itu, kita telah menyaksikan pemain berbakat yang telah mencipta nama dalam sejarah Malaysia. 

Kaum India sebagai salah satu kaum terbesar di Malaysia turut tidak ketinggalan melahirkan bakat-bakat yang hebat arena bola sepak negara.

Mereka yang diiktiraf antara yang terbaik adalah:

K. Sanbagamaran

 

Posisi: Midfield 

Sanbagamaran telah diingati sebagai pemain bola sepak dengan Selangor dan Sabah. 

Beliau dilihat seperti dianugerahkan dengan tenaga yang tanpa had, terkenal dengan menjadi pemusnah kepada serangan lawan selain bijak membawa bola ke arah gawang lawan. 

Kemuncak kepada kerjaya beliau sudah pasti sewaktu Piala Tiger 1996 ( nama lama Piala Suzuki AFF) di Singapura, apabila beliau berjaya menjaringkan gol pertama pertandingan kali pertama dipertandingkan.



Thanabalan Nadarajah

 










Posisi: Penyerang

N.Thanabalan pertama kali mewakili Malaysia ketika beliau berumur 17 tahun

Beliau juga merupakan pemain bola sepak Malaysia yang telah mencipta pelbagai rekod.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1968 menentang Pulau Pinang, beliau menjaringkan 4 gol untuk Selangor, rekod yang kekal bertahan hingga kini.


Beliau juga berjaya menjaringkan 8 gol dalam 6 perlawanan sepanjang kejohanan Pesta Bola Merdeka 1968 yang menyaksikan Malaysia memenangi gelaran menewaskan Burma (sekarang Myanmar). 

N. Thanabalan adalah seorang pemain bola sepak yang sangat ghairah dengan dunia bola sepak. Buktinya cukup jelas apabila beliau sanggup bermain di pentas akhir  Pesta Bola Merdeka 1968 yang jatuh pada malam hari perkahwinannya.



R. Arumugam

 

Posisi: Penjaga Gol

Adalah menjadi satu 'dosa' buat penyokong tegar skuad kebangsaan jika tidak mengenali insan hebat ini. 

Digelar sebagai Spiderman, Datuk R. Arumugam, adalah seorang penjaga gol legenda yang berasal dari Klang, Selangor. 

Beliau membuat debut untuk pasukan Selangor pada umur yang cukup muda iaitu ketika berumur18 tahun.

Selangor juag telah memenangi Piala Malaysia sebanyak 8 kali selama tempoh beliau di sana.

Bersama Datuk Santokh Singh dan Soh Chin Aun, R. Arumugam juga membantu pasukan bola sepak kebangsaan memenangi kejohanan Pesta Bola Merdeka pada tahun 1973, 1974, 1976 dan 1979. 


Beliau pernah mewakili Malaysia pada 7 edisi sukan SEA dan membantu Malaysia layak ke Olimpik Moscow 1980. 

Pada Disember 1988, satu detik hitam berlaku dalam bola sepak negara apabila beliau disahkan terkorban dalam satu kemalangan kereta.



Dato' M. Chandran




Posisi: Pertahanan
 
Sejak tahun 1960, Dato M. Chandran menjadi tonggak utama dalam bola sepak Malaysia. 

Di padang, beliau dikenali sebagai pertahanan yang keras dengan kelajuan dan fokus yang menakjubkan.

Bekas pertahanan Selangor ini telah  menjadi tonggak asas ketika mewakili pasukan negeri dan kebangsaan. 

Sebagai kapten pasukan kebangsaan selama 3 tahun, beliau telah mengetuai pasukan dengan mencipta sejarah layak ke  Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

M. Chandran juga pernah melatih pasukan kebangsaan Malaysia selama 4 tahun dan juga pasukan Selangor selama 5 tahun.



 

Qu Puteh Tolak Taja Red Warrior Tahun Depan




Kelantan, pasukan gergasi Pantai Timur yang terkenal dengan gelaran The Red Warriors  terpaksa mencari penaja utama mereka pada musim hadapan selepas penaja semasa mereka  Vida Beauty, dilaporkan menolak untuk menaja pasukan pada musim hadapan.


Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dalam Facebook rasmi beliau.


“Penaja utama Pamoga Qu Puteh telah memaklumkan hasrat untuk tidak menaja pasukan Kelantan musim depan (2017) walaupun mengikut perjanjian tajaan mereka adalah sehingga 2017.



“Saya memahami hasrat mereka dan akan bawa isu ini ke Majlis Kafa.



“Kita akan mencari jalan keluar terbaik dengan mengambil kira semua faktor serta menjaga hubungan baik jangka panjang dengan semua pihak.



“Walaupun ini akan menambah kesulitan Kafa, namun se­perti biasa setiap musim pe­ngurusan negeri sentiasa diuji pelbagai kepayahan yang biasanya tidak difahami pihak luar,” kata Annuar.



Pada 24 April lalu, Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman yang lebih mesra dengan panggilan Dr. Vida meluahkan kekecewaan terhadap prestasi Kelantan yang tidak menentu dan mengancam akan menarik balik penajaan berjumlah RM16 juta bagi dua musim.



Pengasas Vida Beauty itu turut mengakui, ancaman untuk menarik penajaan bukan omong kosong, sebaliknya beliau bersedia mengambil langkah drastik andai isu prestasi gagal dita­ngani Kafa.



Penarikan penajaan oleh Dr. Vida pasti memberi tamparan kepada Kafa, yang dikatakan sedang berdepan masalah kewa­ngan dan kembali dihantui isu tunggakan gaji pemain.



Seorang pemain yang enggan mendedahkan identitinya berkata, Kafa sudah 2 bulan gagal membayar gaji pemain.



“Sudah masuk 2 bulan saya tidak dapat gaji dan semua wang simpanan sebelum ini terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bayaran pinjaman kereta, rumah serta perbelanjaan harian keluarga,” kata pemain itu.



Katanya, dia lebih terkilan apabila mendapat tahu Kafa hanya membayar gaji 15 pemain, manakala yang lain dibiarkan tertunggak.



“Kenapa hanya 15, kalau nak bayar kenalah melibatkan semua baru adil,” katanya lagi. 




Sebagai rekod, Kelantan adalah salah 1 daripada 3 kelab yang mempunyai tunggakan gaji terhadap pemain selain pasukan ATM dan Felda United sebelum tirai Liga Super dibuka pada awal musim. 



Mereka sebelum ini dianggarkan mempunyai tunggakan hutang pemain  lebih RM 400,000.



Sumber: Utusan Malaysia

T-Team Kesal Ada Pasukan Umpan Pemain Guna Pintu Belakang





Kecemerlangan aksi yang ditunjukkan oleh pemain T-Team pada musim ini membuka mata ramai pihak terutamanya pihak lawan yang berminat mendapatkan khidmat mereka.

 Ini adalah berdasarkan kejayaan mereka yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum ditewaskan juara bertahan Selangor pada musim ini.

Namun begitu perkara yang dikesalkan pihak pengurusan T-Team adalah terdapat beberapa pasukan yang cuba mengumpan pemain mengikut saluran yang tidak sah.

Beberapa orang pemain muda disasarkan oleh pasukan tertentu dijanjikan dengan tawaran yang lumayan. 

Antara tonggak T-Team yang cuba dipikat ialah dua pemain kebangsaan, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (pertahanan kiri) dan Mohamad Safawi Rasid (tengah), Mohd Asrol Ibrahim (tengah), Muhammad Ilham Amirullah Razali (penjaga gol) dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris (Pertahanan).

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata pemain itu adalah sebahagian daripada tunjang kejayaan pasukan sehingga berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/206684
 T-Team melalui  Ketua Pegawai Operasi mereka, Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata pemain itu adalah sebahagian daripada tunjang kejayaan pasukan sehingga berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Katanya, pemain terbabit sebenarnya diperlukan dan berada dalam perancangan T-Team untuk mengharungi Liga Super tahun depan.

 "Bagaimanapun, ada pasukan negeri dan kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit, dikatakan berunding melalui pintu belakang.

"Tindakan tidak profesional kelab dan pasukan negeri memang mengecewakan kami kerana ketika itu pasukannya sedang memberi fokus kepada Piala Malaysia.

 "Malah, apa yang boleh saya sahkan, tiada surat rasmi dihantar oleh mana-mana pasukan, kelab dan negeri untuk mendapatkan pemain T-Team," katanya kepada BH Sukan, di sini, semalam.

Tambah Mohd Syahrizan , pihaknya juga sudah memberi surat tawaran untuk saingan musim depan kepada pemain dan pada masa sama akan mengadakan perbincangan terbaik dengan mereka supaya kekal bersama T-Team.

"Kita tahu, mereka ditawarkan gaji lebih tinggi berbanding apa yang diperoleh bersama T-Team. "Jadi, kita akan berbincang dengan memperhalusi kehendak pemain mengikut kemampuan bagi mengelakkan mereka berhijrah ke pasukan lain," katanya.






Sumber: Berita Harian



Thursday, 27 October 2016

Baddrol Azam Pastikan Piala Malaysia Milik Kedah

 

Bahang final Piala Malaysia semakin menghampiri ke kemuncak sebenar. 


2 finalis musim lalu, Kedah dan Selangor membuka buku baharu bertarung untuk mencapai gelaran juara pada edisi kali ini.


Baddrol Bakhtiar sebagai pemain berpengalaman Kedah,  melaungkan keazaman tinggi untuk membantu pasukannya menjulang trofi Piala Malaysia menjelang aksi final menentang Selangor pada 30 Oktober ini.



Menurut beliau, kepercayaan diberikan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe kepadanya bersama rakan sepasukan menyebabkan beliau mahu bekerja keras bagi memastikan hajat semua pemain dan penyokong Lang Merah untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini menjadi kenyataan.



"Kepada pasukan, ingat misi dan tanggungjawab kita. Diharapkan dalam final kali ini kita dapat memberi aksi yang lebih baik daripada tahun lalu agar dapat menjulang trofi kebanggaan ini untuk menggembirakan ribuan penyokong Kedah," katanya.



Baddrol bagaimanapun yakin keupayaan dan semangat yang ada pada rakannya mampu mencipta kemenangan walaupun menyedari lawan pada malam itu juga mempunyai rangkaian serangan yang baik.



"Kami sudah memulakan sesi latihan sejurus selepas tamat aksi terakhir Liga Super, Jumaat lalu.

"Alhamdulillah semua pemain berada di tahap kecergasan yang baik dan sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan akhir ini.

"Apa yang saya harapkan, dalam aksi final nanti kami dapat bermain dengan lebih bersemangat sebagai satu pasukan dan memberikan keputusan yang positif dalam perlawanan itu," katanya lagi.



Pertarungan yang berbeza

Pertemuan final nanti bakal menyaksikan aksi yang menarik daripada kedua-dua pasukan. 



Masing-masing sudah tentu mempunyai strategi yang berbeza berbanding final musim lalu untuk mengelakkan dihidu pasukan lawan.


Kedah turun kali ini dengan semangat tinggi setelah menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-3 di belakang JDT dan Felda United.


Kejayaan di Liga Super pasti akan membakar semangat  mereka untuk menjulang Piala Malaysia menewaskan Selangor yang diketahui sebagai pasukan terbaik dalam sejarah Piala Malaysia.


Selamat maju jaya buat kedua-dua pasukan.




Sumber: sinar harian

Wednesday, 26 October 2016

Pulau Pinang Mungkin Beraksi di Liga Perdana Pada Musim Hadapan





Berita buruk khusus buat penyokong Pulau Pinang. Desas-desus mengatakan  bahawa mereka akan dipaksa beraksi kembali ke Liga Perdana untuk musim 2017.

Semuanya akan berlaku sekiranya rayuan yang dibuat oleh PDRM diluluskan oleh FMLLP. 

Terdahulu, PDRM telah membuat rayuan tersebut berikutan tindakan JDT menurunkan pemain yang digantung perlawanan iaitu Juan Martin Lucero pada perlawanan liga yang berkesudahan JDT menang 4-0 pada Ogos lalu.

PDRM melalui jurulatih mereka, Fauzi Pilus berkata mereka melakukan bantahan kerana sebelum perlawanan tersebut Lucero terlebih dahulu telah mengutip 3 kad kuning.

Jika mengikut peraturan yang ditetapkan, pemain yang mengumpul 3 kad kuning akan digantung 1 perlawanan sebelum dibenarkan beraksi kembali.

Mengikut kedudukan akhir di Liga Super, PDRM berada di kedudukan di bawah Pulau Pinang dengan 21 mata, 1 mata berbeza dengan Pulau Pinang yang mengumpul 22 mata di tangga ke 10. 

PDRM akan diberi 3 mata percuma seterusnya akan mengatasi Pulau Pinang yang berada di atas mereka sebelum rayuan dibuat.

Sebelum itu, PDRM dan Terengganu yang berada di kedudukan tercorot liga tersingkir ke Liga Perdana untuk musim hadapan.




Sumber: Berita Harian

4 Perkara Yang Harus Mourinho Lakukan Segera di United




Kekalahan besar United  baru-baru ini memberi tugas besar kepada Mourinho untuk mengembalikan keyakinan anak buah beliau dengan segara. 
 
Keputusan negatif itu sekaligus mendedahkan kelemahan sebenar United pada awal musim. 

Positifnya, mereka masih mempunyai masa untuk bangkit kerana perjalanan liga masih panjang.

Banyak aspek yang perlu diselesaikan Mourinho dengan kadar segera untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar berlaku. 

Antara perkara penting yang perlu segera Mourinho selesaikan adalah:

 


1. Dapatkan yang terbaik daripada Ibrahimovic atau gugurkannya


Ibrahimovic datang dengan harapan akan membekalkan penyudah yang berkesan kepada United selepas mereka kehilangan penyerang berbisa seperti Van Persie sebelum ini.

Pada permulaan beliau di sana segalanya tampak seperti berjalan dengan lancar.

Bermula dengan gol kemenangan dalam perlawanan Perisai Komuniti menentang Leicester, gol luar kotak penalti Bournemouth dan beberapa gol susulan selepas itu  beliau seakan mampu menyesuaikan diri dengan segera.

Namun begitu sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini, Zlatan begitu bergelut untuk mendapatkan gol.
  
Mourinho perlu belajar untuk mencari jalan untuk mendapatkan yang terbaik daripada  Ibrahimovic dan atau menggugurkannya dari pasukan utama

Kebergantungan yang keterlaluan United kepada Ibrahimovic akan dihidu oleh pihak lawan seterusnya akan menyukarkan mereka mendapatkan gol.





2. Selesaikan masalah pertahanan dengan segera

Kekalahan besar United di tangan Chelsea baru-baru ini membuktikan bahawa pertahanan mereka begitu bermasalah.

Dalam perlawanan tersebut gandingan Smalling dan Blind begitu rapuh sehingga membenarkan 4 gol dibolosi.

Konsentrasi yang lemah daripada Blind membenarkan hantaran yang mudah Marcos Alonso kepada Pedro.

Pedro mengambil kesempatan daripada kelalaian tersebut menjaringkan gol pendahuluan biarpun tidak sampai 1 minit masa permainan.

Kecederaan yang dialami oleh Eric Bailly, pemain penting benteng pertahanan mereka musim ini mungkin akan membuatkan situasi menjadi lebih parah.  


Sudah tiba masanya Mourinho perlu mencari pertahanan muda yang sesuai diserapkan ke pasukan utama bagi menampung ketiadaan Bailly.






3. Berikan Carrick waktu permainan yang lebih


Carrick  kemungkinan besar mampu membuat perbezaan jika diberi peluang beraksi di skuad utama.

Perkara tersebut dapat dibuktikan ketika perlawanan Manchester United menentang Fenerbahce, beberapa hari sebelum mereka dibelesah teruk di Stamford Bridge. 


Sebagai antara pemain yang paling lama selain Rooney, beliau berupaya menyumbangkan pengalaman yang ada  selain mengembalikan keyakinan dalam pasukan.

Berbanding Fellaini, Carrick dilihat calon yang paling ideal untuk United  mendapatkan yang terbaik daripada Pogba.

Fellaini sebelum ini gagal membantu pertahanan dengan baik dan tidak memiliki hantaran yang kemas sehingga memaksa Pogba untuk turun lebih ke bawah mendapatkan bola.

Akibat daripada situasi ini Pogba kurang memberi ancaman di bahagian atas seterusnya menyebabkan Ibrahimovic gagal mendapatkan hantaran yang berkualiti menjaringkan gol. 

Kehadiran Carrick bukan hanya membekalkan ketenangan di hadapan  pertahanan bahkan hantaran beliau juga mampu membuatkan gerakan United lebih lancar berbanding Fellaini.

 

4. Tewaskan Man City ( pertemuan Piala Capital One)

Umum mengetahui bahawa permusuhan United dan City berlaku sejak sekian lama. 

Ia menjadi bertambah sengit apabila City diperkuatkan dengan suntikan dana yang banyak daripada jutawan Arab.

Sejak daripada itu City bukan sahaja menjadi musuh setempat bahkan musuh kuat dalam persaingan liga.
 
Justeru itu, apa sahaja keputusan daripada perlawanan menentang Manchester City nanti (pada 27 Oktober), boleh memberi kesan positif untuk Manchester United atau  sebaliknya. 

Dengan kemenangan sahaja mampu mengembalikan keyakinan pemain dan penyokong terhadap beliau.

Sebaliknya jika keputusan negatif, keadaan akan menjadi bertambah teruk dari apa yang kita sangkakan

Pemain juga akan menghadapi krisis keyakinan untuk menang selepas deretan keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada mereka. 


Masa depan Mourinho di United
 

Pemergian Ferguson sebagai pengurus yang paling berjaya di United memberi penanda aras yang tinggi untuk diikuti oleh pengurus yang datang selepas beliau.

Mana-mana pengurus  United yang hadir selepas Alex Ferguson diberi harapan yang tinggi untuk mengembalikan aura seperti zaman Ferguson.

Mourinho turut tidak terkecuali dalam membawa beban harapan yang besar daripada penyokong United serata dunia.

Sebagai pengurus yang dibawa untuk jangka masa pendek, mahu tidak mahu Mourinho perlu segera meletakkan United sebagai pesaing kuat gelaran liga.

Jika perkara tersebut gagal berlaku nasib Mourinho mungkin akan lebih teruk berbanding David Moyes dan Van Gaal.

Lebih-lebih lagi beliau sendiri mempunyai pengalaman buruk dipecat oleh Chelsea lantaran keputusan buruk anak buah beliau biarpun membantu mereka menjulang Liga Perdana Inggeris musim sebelum itu.




Sumber: Goal.com